Tuesday, August 23, 2011

Ramadhan bulan al-Quran

Bulan Ramadhan adalah bulan al-Quran, bulan yang padanya permulaan diturunkan al-quran. Firman Allah s.w.t. di dalam surah al-Baqarah ayat 185:


شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْءَانٌ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنـَـتٍ مِّنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ ۚ فَمَن شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ ۖ
y
“Bulan Ramadhan, bulan yang padanya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan batil). oleh itu, sesiapa dari antara kamu Yang menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu."

Membaca al-Quran itu ialah satu perniagaan yang sangat menguntungkan pada setiap tempat dan masa (sepanjang tahun). Tetapi dalam bulan ramadhan, ia mempunyai kedudukan dan tempatnya yang sangat tinggi. Rasulullah s.a.w. memberi penekanan yang lebih kepada al-Quran dalam bulan Ramadhan kerana beberapa sebab iaitu wahyu pertama, dari luhmahfuz ke baitul ‘izzah dan tadarus bersama Jibril.

1.       Wahyu pertama
Permulaan turunnya al-Quran adalah pada bulan Ramadhan, pada malam Jibril a.s. datang membacakan surah al-‘Alaq, ayat 1-5 kepada baginda.

2.       Dari Luhmahfuz ke Baitul ‘Izzah
Pada bulan ramadhan juga, al-Quran diturunkan dari Luhmahfuz ke langit dunia. Sebagaimana riwayat daripada Abdullah bin Abbas r.a. dan telah disebut oleh para ulama salaf bahawa al-quran itu diambil dari Luhmahfuz dan diturunkan ke Baitul ‘Izzah di langit dunia (yang paling bawah) pada malam Lailatulqadar.
Ada tiga pendapat yang mengatakan tentang tarikh al-Quran diturunkan iaitu
a.        Pendapat pertama: malam 17 ramadhan
b.       Pendapat kedua: 21 ramadhan
c.        Pendapat ketiga: 24 ramadhan

3.       Tadarus bersama Jibril
Jibril a.s. datang bertemu Rasulullah s.a.w. untuk bertadarus al-Quran pada setiap malam di bulan ramadhan.
Daripada Ibn Abbas r.a.: “Rasulullah s.a.w. seorang manusia yang paling pemurah dan sifatnya ini berganda-ganda (menjadi lebih pemurah) pada bulan ramadhan apabila jibril datang menemuinya. Pertemuan ini pada setiap malam di bulan ramadhan. Maka sifat pemurah rasulullah s.a.w. lebih laju daripada angin yang kencang.” Hadis riwayat bukhari dan muslim.

Maka para ulama telah membuat kesimpulan bahawa disyariatkan agar mengkhatamkan al-quran pada bulan ramadhan kerana pada setiap tahun, Rasulullah dan Jibril telah khatam semua ayat al-quran yang telah diturunkan kepada baginda sebelumnya. Malah pada ramadhan tahun terakhir sebelum kewafatan baginda, mereka telah khatam sebanyak 2 kali.

Setiap muslim digalakkan untuk mengkhatamkan al-quran sebanyak sekali atau lebih pada setiap ramadhan. Maka, hidupkanlah bulan ini dengan tilawah, tadarus serta mengamalkan al-quran sepenuhnya kerana pada bulan ini syaitan-syaitan telah dibelenggu. Inilah peluang kita untuk meraih takwa dan ganjaran pahala amal ibadat yang telah dijanjikan oleh Allah s.w.t. untuk hamba-hambanya yang beriman. Wallahua’lam.

No comments:

Post a Comment

teng Q for ur comment ^_^